Assalamualaikum semua... Moga kalian baik-baik sahaja...
Hari ni Madam nak share dengan korang tentang penyakit autoimun..
Apa ek penyakit autoimun ni? Bahaya ke? Siapa yang mudah kena? Apa sebab? Bagaimana nak rawat kalo kena?
Menurut Portal MyHealth Kementerian Kesihatan Malaysia:
Penyakit autoimun (AI) adalah penyakit dimana sistem imun tubuh seseorang menyerang sel atau tisunya sendiri. Ia terjadi kerana sistem imun badan gagal membezakan sel atau tisu badan dan menanggap sel tersebut adalah sel asing. Disebabkan kegagalan tersebut maka ia boleh menyerang pelbagai organ dan tisu.
Sebenarnya sistem imun tubuh atau disebut imuniti (kekebalan) adalah sistem yang berfungsi untuk melindungi tubuh dari ‘ancaman’ yang membahayakan tubuh seperti jangkitan bakteria, virus dan fungus.
Tanda-tanda sesaorang mungkin menghidap penyakit autoimun
1. Sakit sendi, sakit otot atau kelemahan otot
2. Susut berat badan
3. Ruam yang berulang, amat sensitive pada cahaya matahari, ruam berbentuk rama-rama pada hidung dan pipi.
4. Sukar untuk memberikan perhatian atau tumpuan.
5. Rasa letih, berat badan bertambah atau tidak tahan sejuk.
6. Rambut gugur ataupun keputihan pada kulit.
7. Kekeringna pada bahagian mata, mulut dan kulit.
8. Kebas pada bahaian tangan dan kaki.
9. Kerap mengalami keguguran
Penyebab
Secara realitinya penyebab penyakit autoimun hingga saat ini belum diketahui meskipun beberapa teori telah diutarakan. Secara umumnya penyakit autoimun disebabkan oleh faktor-faktor berikut:-
a) Sejarah keluarga yang mempunyai penyakit autoimun.
b) Jantina dan status hormone (75% penyakit autoimun berlaku di kalangan wanita)
c) Jangkitan virus atau bakteria
d) Pendedahan kepada persekitaran dan bahan kimia toksik
e) Tekanan (stress) dan trauma
f) Merokok
g) Kekurangan nutrisi
Satu teori menarik yang dikemukan oleh Dr. Stephen B. Edelson (salah seorang pakar penyakit autoimun di USA) menyatakan penyakit autoimun adalah kombinasi dari faktor genetik dan persekitaran. Faktor genetik menyumbang kepada penyakit autoimun dan dipengaruhi oleh keadaan persekitaran.
Satu lagi teori menarik yang dikemukakan oleh Dr. Thomas Nissen (pakar kesihatan alam sekitar) mengatakan bahawa semua manusia mempunyai faktor genetik yang cenderung kepada satu-satu penyakit. Jika seseorang terlalu lama terdedah kepada persekitaran yang tidak sihat (toksin) ia akan mencetuskan pembentukan radikal bebas dalam tubuh manusia.Radikal bebas ini akan merubah pH tubuh manusia yang memudahkan virus,bakteria dan fungus untuk hidup dan merangsangkan lagi pembentukan radikal bebas yang berperanan merosakkan sel-sel dalam tubuh manusia. Autoimmuniti akan terhasil apabila sistem imun badan bertindak menyerang sel-sel yang rosak ini.
Penyakit-penyakit yang berkaitan dengan autoimun
A. Alopecia Areata
Penyakit ini berlaku apabila sistem imun pesakit menyerang folikel-folikel rambut iaitu struktur tempat tumbuhnya rambut. Ini akan menyebabkan keguguran rambut sehingga menimbulkan tompok-tompok botak pada kepala. Selain keguguran rambut, pesakit juga merasakan gatal-gatal atau rasa terbakar pada kulit kepala.
B. Psoriasis
Psoriasis adalah penyakit autoimun yang menyerang kulit. Penyakit ini mempengaruhi sel kulit hingga sel kulit baru menjadi matang terlalu cepat padahal sel-sel yang sudah tua tidak gugur sehingga menyebabkan terjadi penimbunan sel-sel di permukaan kulit.Ini akan mengakibatkan inflamasi, tompokan ,’scaly’ yang dikenali sebagai ‘plaques’ terutamanya pada bahagian kulit kepala,lutut,punggung dan pergelangan tangan.
C. Grave’s Disease
Ini adalah penyakit autoimun yang menyerang kelenjar tiroid iaitu kelenjar di leher yang menghasilkan hormon tiroid.
D. Hashimoto’s Disease
Berbeza dengan Grave’s disease, Hashimoto’s disease umumnya menyebabkan kelenjar tiroid kurang aktif (hipotiroid) sehingga tidak menghasilkan cukup hormon tiroid. Gejala yang akan timbul di antaranya adalah peningkatan berat badan, gangguan emosional, keletihan tanpa sebab yang jelas, susah mengingat serta mengantuk.
E. Celiac Disease
Adalah penyakit autoimun yang menyerang usus kecil sebagai respon dari intoleransi terhadap produk gluten iaitu bahan yang terdapat dalam gandum. Ia akan menyebabkan gangguan absorpsi (malabsorpsi) sehingga pesakit tidak mendapatkan gizi yang cukup. Pada kanak-kanak, keadaan ini menyebabkan gangguan pertumbuhan dan perkembangan. Gejala-gejala lain adalah seperti penurunan berat badan, ketidakselesaan perut, kembung, cirit dan Anemia.
F. Addison’s Disease
Addison’s disease, sistem imun akan menyerang kelenjar adrenal yang letaknya diatas ginjal yang menghasilkan hormon steroid berupa mineralokortikoid, glukokortikoid serta gonadokortikoid.
H. Scleroderma
Seperti Psoriasis, Scleroderma adalah juga penyakit autoimun yang menyerang kulit. Kulit penderita Scleroderma akan menjadi pengerasan berbentuk oval atau memanjang.
I. Myasthenia Gravis
Dalam bahasa yunani dan latin Myasthenia gravis di ertikan sebagai kelemahan otot. Myasthenia gravis adalah penyakit autoimun yang menyebabkan kelemahan otot yang serius.
J. Sjögren’s Syndrome
Sjögren’s syndrome adalah penyakit autoimun sistemik yang menyerang kelenjar eksokrin yang menghasilkan cairan pelembab seperti air mata, air liur dan peluh.
K. Rheumatoid Arthritis (RA)
Rheumatoid arthritis adalah penyakit autoimun sistemik yang menyerang sendi-sendi bukan kelenjar eksokrin.
L. Multiple Sclerosis (MS)
Sistem imun pesakit akan menyerang pelindung saraf (mielin) otak atau tulang belakang (medulla spinal) sehingga mengganggu fungsi saraf untuk berkomunikasi dengan saraf lain di otak, tulang belakang atau bahagian lain tubuh.
M. Systemic Lupus Erythematosus (SLE)
Systemic lupus erythematosus (SLE) adalah penyakit autoimun yang paling popular. SLE merupakan penyakit autoimun yang melibatkan lebih dari satu organ.Oleh itu kesan dari penyakit ini amat berat kerana melibatkan banyak organ dan gejala-gejala yang timbul adalah tidak spesifik.
Masih banyak lagi penyakit autoimun contohnya Diabetes Mellitus jenis 1, penyakit inflamasi usus, Ankylosing spondylitis atau Primary billiary cirrhosis. Namun begitu pada dasarnya semua penyakit autoimun adalah akibat dari sistem imun pesakit yang menyerang sistem imun pesakit sendiri.
Diagnosis
Diagnosis untuk penyakit autoimun adalah amat mencabar. Ia memerlukan kombinasi di antara tanda-tanda dan gejala yang dialami oleh pesakit serta disokong oleh penyiasatan Makmal.
Ujian Makmal
Prinsip asas penyiasatan makmal adalah mengesan kehadiran antibodi dalam darah pesakit.
Ada 2 kaedah yang sering dijalankan dimakmal iaitu:
a. Ujian Elisa
b. Ujian Immuno Flourescent (IF)
Rawatan
Objektif rawatan penyakit autoimun adalah
1. Mengurangkan simtom
2. Mengawal proses autoimun (ubat immunosuppressive –kawal atau kurangkan tindakbalas imun
3. Mengekalkan kebolehan badan menentang penyakit
4. Rawatan mana yang akan digunakan bergantung kepada gejala dan penyakit AI tertentu.
Rujukan
1.The general Practice Guide to Autoimmune Diseases By Y.Shoenfeld and P.L.Meroni
2.Understanding Autoimmune Diseases (October2012)(PDF) http://www.niams.nih.gov/health_info/autoimmune/understanding_autoimmune.pdf
3. Laboratory diagnosis of autoimmune diseases – new technologies, old dilemmas. Biochemia Medica 2010;20(1):45-56. http://dx.doi.org/10.11613/BM.2010.006
Ulasan
Catat Ulasan